Main » Articles » Articles » Stories |
Kembali 3
16 Januari 2012. Bangun pagi, dengar mak mengerang kesakitan d bilik. Sebelum ni mak ok je. Macam nak makin pulih. Sebab tu bila adik telefon dari Ipoh bertanyakan khabar mak, kami katakan mak baik je. Adik minta bercakap dengan mak, tapi mak menolak, tidak mahu bercakap dengannya. Yang anehnya juga tidak mahu bercakap dengan abah. Hampir setiap hari abah menelefon mahu bercakap dengan mak, tapi mak menolak. Ku kirakan mak pasti rindu pada mereka di Ipoh, kerana antara aku dan adik, adik lebih disayangi oleh mak. Pertama, kerana dia darah daging mak. Adik adalah anak bongsu kakak mak, diberi pada mak sebaik saja dilahirkan kerana mak tidak ditakdirkan melahirkan anak sendiri. Sedangkan aku hanya anak Omar. Omar, seorang jiran di zaman silam yang kematian isteri sewaktu bersalin. Ibu kandungku mati muda, ketika berusia awal 20an. Lekat uri waktu melahirkan aku. Peristiwa lekat uri ini turut menimpa diriku ketika melahirkan anakku yang keempat, tapi aku selamat, anakku Sarah yang kembali menemui Ilahi. Takdir Allah aku dipelihara dan dibesarkan oleh orang lain yang bukan darah daging. Menjadi sebab mengapa aku lebih menghargai mak dan abah. Kerana mereka membesarkan aku dengan baik, diberi makan minum dan pendidikan sempurna. Mak cukup menitik beratkan pendidikan Quran, hinggakan aku berjaya menjadi Johan Qariah Kanak-kanak Perempuan Peringkat Negeri Perak suatu masa dahulu. Alhamdulillah. Tiada sebarang penjelasan dari mak kenapa tidak mahu bercakap dengan adik mahu pun abah. Juga mak menolak apabila adik tawarkan untuk mengambil mak semula untuk tinggal bersamanya. Tapi adik insist, nak ambil juga mak hujung minggu tu. Aku menurut je, malas nak bertelingkah. Jadi kukira itulah minggu terakhir aku membelai mak. Aku mula mengajar mak beberapa perkara yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Pertama. Apabila roh mula dipisahkan dari badan, ianya umpama melapah kulit dari isi. Kesakitan umpama 300 tetakan pedang. Berapa lama kesakitan itu sebelum maut menjemput? Allah saja yang mengetahui. Mungkin beberapa jam/saat, mungkin beberapa hari/minggu. Makin kasih Allah pada kita, makin banyak dosa Dia mahu hapuskan, maka makin sakit. Supaya kita tidak perlu menanggung kesakitan yang lebih dahsyat di kubur atau di akhirat kelak. Mengeluh dan mengadoi tidak akan membawa ke mana-mana, sebaliknya kita perbanyakkan zikir dan memohon ampun, mudah-mudahan makin cepat dosa kita diangkat, makin ringan kesakitan. Sentiasa ingat Allah, supaya tiada ruang syaitan datang memperdaya dan mengganggu. Kedua. Apabila syaitan mula datang untuk memperdaya, biasanya akan menyerupai orang yang kita percaya dan sayang, menawarkan perkara-perkara yang kita inginkan. Jika suka wang, dia bawa wang. Jika dahaga, dia bawa air. Jangan layan, jangan ambil apa-apa dari dia, untuk apa-apa alasan pun. Berikan sepenuh penumpuan pada Allah, sebut nama Allah banyak-banyak. (Sebab itu orang yang diambang maut perlu diberikan air, supaya tidak diperdaya syaitan, kerana mereka sentiasa dahaga.) Ketiga. Proses mencabut nyawa berlaku dalam tiga peringkat, oleh tiga kumpulan malaikat. Kumpulan pertama malaikat akan masuk ke dalam rongga-rongga di bahagian pusat hingga ke kaki, dan mencabut roh dari situ. Tanda awal sakratulmaut ialah apabila pusat berasa sejuk, dan sejuk ini menjalar hingga ke kaki. Waktu ini sebut nama Allah banyak-banyak. Sebaiknya mengucap. Proses kedua. Tempoh masa antara proses pertama dan kedua, juga bergantung kepada Allah. Boleh jadi beberapa jam/minit/saat. Kumpulan kedua malaikat mencabut roh bermula dari pusat hingga ke dada. Ketika ini nafas mula tersekat dan rasa mual. Waktu ini perlu mengucap dua kalimah syahadah, dan diam, jangan berkata apa-apa lagi, selain nama Allah, kerana selepas ini mungkin tidak berpeluang berkata apa-apa lagi. Ketika ini syaitan masih cuba untuk memperdayakan agar kita berkata-kata yang bukan nama Allah. Proses ketiga, terakhir. Kumpulan ketiga malaikat mencabut roh dari dada hingga ke mulut. Waktu ini pintu taubat ditutup, dan lidah tidak mampu bergerak untuk berkata apa-apa lagi. Aku bisikkan ini semua pada mak supaya dia faham dan tidak takut. Sebab mak sangat penakut orangnya. Takut ubat, takut sendirian, takut itu, takut ini. Kesian mak, sayang mak. Lumrah manusia memang takut pada perkara-perkara yang dia tidak faham. Sebab itu orang yang tidak faham Islam takut pada orang Islam..kui3. Orang Islam yang tak faham Islam takut mengamalkan Islam..adoi la. Ketakutan akan memudahkan kerja syaitan, senang je dia memperdaya orang-orang gini. Orang yang takut hilang bini akan sentiasa rasa bininye nak lari. ^^. Kita takut pada Allah yang Esa je. Sebab itu aku khabarkan ini semua pada mak, supaya dia faham apa yang berlaku. 'Jangan takut, mak. Allah ni amat baik, Maha Baik..' 16 Januari 2012, anakku yang selama ini tidur di katil bersebelahan mak untuk menemaninya, kudapati tidur di settee. Katanya, 'Opah mengerang sepanjang malam, bermula dari kul 12. Terpaksa tidur luar sebab takut dengar..' Ternyata sepanjang hari dan malam selepas itu, mak asyik mengerang kesakitan. Suara yang cukup memilukan, mengerikan. Sebelum ini dia mengeluh juga kesakitan, tapi hanya sekali sekala, sewaktu mahu mengalih posisi. Tapi dia masih menerima makanan dan ubat yang aku berikan, walaupun makin ketara kesusahan menelan. Mak makin banyak memegangku, mengusapku, 'Mak sayang adik..' ucapnya berkali-kali bersama linangan air mata. Seperkara lagi, kalau dulu mak kurang minum air, hari ini asyik minta air zam-zam, sekali teguk hampir separuh botol 500ml habis. 'Asyik dahaga je,' katanya. Aku semakin bimbang. Malam tu aku bincang dengan suami, mahu hantar mak segera ke Ipoh, tak perlu tunggu adik ambil hujung ni. Kerana aku bimbang jika mak meninggal sebelum sempat temui abah. Dia ibuku, tapi dia juga isteri orang. Dosanya dengan suami, walaupun sedikit, perlu dibereskan dahulu. Kerana buat seorang isteri, reda Allah datangnya dari reda suami. Aku mahu mak kembali pada Allah dengan selamat sejahtera. Sebenarnya sejak hari Sabtu lagi mak menyebut tentang abah, dia kata dia bimbangkan abah, tapi bila ditanya samada mahu pulang ke Ipoh, jawapannya tetap 'Tidak'. Untuk menyenangkan hatinya, aku cadangkan padanya yang aku akan ambil abah untuk tinggal bersama kami, dan bersama mak, bulan depan, insyaAllah, sebaik saja anakku dari Sabah pulang ke Penang. Kerana di waktu ini aku sendirian saja menjaga mak, dan untuk menjaga abah tentulah memerlukan bantuan orang lain. Syukur alhamdulillah, suamiku setuju untuk mengambil cuti dan menghantar mak ke Ipoh esok. Lega rasa hati. | |
Views: 1322 | Comments: 1
| Tags: |
Total comments: 1 | |
| |