Friday, 29/03/2024, 3:38:43 AM
Welcome, Guest
Main » Articles » Articles » Stories

Kembali 4
17 Januari 2012. Sepanjang malam kami sekeluarga berjaga, bergilir-gilir memerhatikan mak. Sudah dua malam mak tidak tidur nyenyak seperti sebelumya. Asyik mengerang dan memanggil ibu dan kakaknya,kedua-dua ini sudah lama menjadi arwah. Hanya tiga nama yang sering di bibir mak waktu ini, 'mak', 'kak', dan 'adik'. Paginya aku khabarkan pada mak tentang hasrat kami membawanya pulang ke Ipoh berjumpa abah hari itu, matanya yang sejak 2-3 hari ini kusam tidak bercahaya kelihatan sedikit bermaya. Syukur alhamdulillah.
Pagi itu mak tidak mahu makan makanan mahu pun ubat. 'Tak perlu, dah nak mati,' katanya. Aku memujuk, 'Belum lagi, jika makanan masih boleh masuk ke dalam tubuh, ertinya pintu rezeki belum ditutup, maka perlu makan, perlu berusaha, berikhtiar, tak boleh mengalah, tak boleh putus asa. Mana tau Allah takdirkan umur mak masih panjang. Kita nak gi Mekah buat umrah sama-sama nanti, kan?' Barulah mak mahu disuapkan ubat, namun makanan dia tetap menolak, jadi aku suapkan susu bagi melapik perut. Kemudian dia tidur, tapi cuma sebentar, kemudian sambung mengerang. Aku tanyakan di mana sakitnya supaya boleh kuletakkan ubat, mak tunjuk kat jari jemari tangan, sana sini sekitar tubuhnya, akhirnya menjawab, 'Tak tahu.' Aku semakin faham, semakin bimbang, dan semakin sedih. Sekali sekala aku lihat mak merenung jauh dengan pandangan mata yang pudar tidak bercahaya, tubuh kaku tidak bergerak, menakutkan aku kerana fikir dia telah 'pergi', kemudian tiba-tiba tubuh dia bergetar dan dia 'kembali'.
Kami bertolak ke Ipoh sekitar jam 3.30 petang, selepas anakku pulang dari sekolah, kerana memerlukan bantuannya mengawasi opahnya sepanjang perjalanan. Dia lelaki, kuat, bertenaga. Aku hanya perempuan, dah tua pulak, lemah, nak mengangkat tubuh mak untuk ganti pampers pun adakalanya terlalu susah. Sepanjang perjalanan itu mak mengerang kesakitan, kami hanya mendengar tidak mampu berbuat apa-apa.
Kami tiba di rumah adik waktu hampir maghrib. S tidak ada di rumah. Adik yang mengangkat mak dan meletak di atas katil dalam bilik. Anaknya N berkata, 'Opah ni nampak macam makin teruk..' Mak membisu seribu bahasa setelah tiba di Ipoh, walapun ketika abah datang menjenguknya, dia diam saja, mata merenung kosong ke angin. Dia tidak mengerang lagi, mungkin perjalanan hampir 4 jam terlalu meletihkannya. Kemudian S pulang, dia terus je ke bilik melihat mak, tanpa bersalaman atau menegur kami. Semenjak dua menjak ni kami dah terbiasa dengan perangainya yang pelik, jadi kami abaikan je, terus berbincang dengan adik.
Ku katakan 'semenjak dua menjak', kerana perangainya menjadi aneh setelah mak sakit. Mak mula sakit-sakit pada sekitar April 2011. Waktu inilah S merayu mahu menjaga mak, kerana katanya dulu tak berpeluang menjaga ibunya sebelum meninggal, jadi mahu berbakti dengan ibu yang ini, ibu mertua. Walaupun agak terkilan, kerana aku telah menyimpan hasrat yang sama sejak sekian lama lagi, aku izinkan, kerana yang lebih penting bagiku ialah kebahagiaan mak. Aku tahu mak amat sayangkan mereka suami-isteri dan anak-anak, dan sudah pasti mak akan lebih selesa di sana. Disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Rupa-rupanya kaedah dia memelihara orang tua ialah menghantar ke hospital, atas sekecil-kecil sebab. Atas alasan susah nak beri makan pun dia sumbat mak ke hospital. Bukannya diberi makan melalui tiub pun sebab tak perlu, mak masih boleh mengunyah dan menelan. Misi-misi tu je yang sabar memujuk dan menyuap mak. Pekerjaan yang anak-anak pun boleh buat kalau mereka mahu. Akhirnya mak dan abah 'lari' ke rumah mereka sendiri, namun tanpa penjagaan betul mak sakit semula, dimasukkan ke hospital semula, begitulah berulang-ulang sehingga akhirnya aku ambil keputusan 'merampas' mak dan abah dari mereka pada Oktober 2011.
Orang yang pertama kali kenal S akan menyangka dia selembut-lembut wanita, dengan senyuman dan tuturkata yang cukup sopan. Dengan aku sahaja dia menunjukkan dirinya yang sebenar. Aku tidak pernah suka padanya sejak kali pertama diperkenalkan oleh adik. Bukan dibuat-buat. Perasaan benci yang tanpa sebab. Puas kupujuk hati untuk menerimanya tapi tetap tidak boleh, hingga ke hari ini. Aku tidak marah orang lain suka padanya, tapi aku sendiri tidak berupaya sayang padanya walaupun sedikit. Tapi pada anak-anaknya aku amat sayang, terutama sekali N. Tiap kali keluar negara aku belikan ole-ole pada anak-anak saudaraku itu meskipun ibu mereka melayanku macam sampah.
Sejak peristiwa mak sakit, makin ramai yang mula menyedari sifat S yang sebenarnya. Sifat yang dah lama aku sedar. Bahawa dia manusia tebal dengan sifat kepura-puraan, berselindung di sebalik wajahnya yang lembut. S sendiri pernah ceritakan pada orang bagaimana dia lari dari rumah ketika berusia 14 tahun. Tak ambik PMR pun. Meninggalkan ibunya yang akhirnya meninggal pada usia muda akibat barah otak. Baru 2 tahun lepas je kakak S mati pada usia muda, juga akibat barah otak. Sepatutnya dia menginsafi kedua-dua peristiwa itu, yang maut menjemput tidak kira usia, dan memperbaiki dirinya. Namun, semakin berusia dia menjadi semakin tidak baik.
Hari ini, bukan sahaja aku, tetapi juga suamiku, anak-anakku, mak dan abahku, dan adikku (suami S) makin nampak diri S yang sebenar. Mungkin anak-anaknya juga, kerana dia dikurniakan anak-anak yang pintar dan baik pekerti. Sayangnya hari ini S sudah mula menebarkan rasa benci terhadap kami sekeluarga kepada anak-anaknya. Yang sulung sudah berani biadap dengan kami. Yang masih mahu tersenyum dan cuba berbaik ialah yang dua lagi. Cuma kelihatan keliru, mungkin tidak faham mengapa perlu bermusuh dengan kami yang sentiasa melayan mereka dengan baik.
Hati kecil aku menyatakan bahawa malam itu mungkin kali terakhir aku melihat mak ketika hidup. Bahawa selepas ini aku hanya mampu sedekahkan Al-Fatihah padanya. Ku lihat S beria-ria menyuap sepotong mangga dalam mulut mak, tapi mak usahkan bersuara, mengunyah pun tidak. Sepanjang masa perbincangan kami dengan adik, tentang ubat mak, temujanjinya seterusnya, dan sebagainya, mak membatukan diri di dalam bilik, tidak memberi respon pada sesiapa pun. Mak hanya memberi respon apabila aku datang menjenguknya untuk mengucapkan selamat tinggal. Ku bisikkan pada mak, 'Mak, jika selepas ini adik tak sempat jumpa mak lagi, adik minta ampun bagi pihak diri adik serta suami dan anak-anak, sekiranya sepanjang penjagaan adik pada mak ada mengguriskan perasaan mak, terkasar bahasa atau cara, adik minta ampun. Adik amat sayang pada mak, mak jangan lupa pesanan Rasulullah yang adik ceritakan pada mak semalam, mak jangan sekali-sekali takut atau tewas pada syaitan. Ingat Allah banyak-banyak. Waktu itu tiada siapa boleh menolong mak melainkan Allah. Kalau boleh memang adik nak sangat berada di sisi mak di saat akhir, tapi ketentuan Allah hanya DIA yang tahu. Apa-apa pun, kita jumpa semula di akhirat. Sayaaaang sangat pada mak.' Kata-kata akhir pada mak, seperti biasa, ambil mengusapku, 'Mak sayang adik...' T_T
Ketika di kereta baru sedar S saja yang tiada di situ untuk bersalam dan mengucapkan selamat jalan. Aku mencarinya, rupa-rupanya sedang berpura-pura sibuk di dapur. Aku tahu dia sengaja mengelak tak mahu berjumpa atau bercakap dengan kami, atas alasan yang Tuhan dan dia sendiri je yang tahu. Tapi aku pedulikan aje. Bagiku yang lebih penting adalah Allah. Alhamdulillah di usia ini aku sudah tiada ego untuk dicalarkan. Lalu aku hulurkan tangan dan bersalam dengannya, dengan harapan mudah-mudahan selepas ini dia sedar dan kikis semua rasa benci tak munasabah dan yang tak perlu dalam hatinya.
Category: Stories | Added by: You (27/01/2012)
Views: 1343 | Tags: ubat, sakit, syaitan, makan, abah, mangga, dengki, jantung, hasad, mak | Rating: 0.0/0
Total comments: 0
Only registered users can add comments.
[ Registration | Login ]