Friday, 26/04/2024, 2:47:14 AM
Welcome, Guest
Main » Articles » Articles » Stories

Kembali 1
Akhirnya mak kembali menemui Ilahi pada jam 12.40 tengahari Rabu 25 Januari 2012, bersamaan 1 Rabiulawal 1433. Kali terakhir kami melihat beliau adalah pada Selasa minggu sebelum itu, 17 Januari 2012. 2 minggu sebelum itu (2 Januari 2012)kami jemput mak dari rumah adik, sejurus saja kami pulang dari Medan, Indonesia. Sebelum kami ke Medan mak dan abah tinggal dengan kami bermula dari 27 Oktober 2011. Mereka minta untuk pulang ke Ipoh untuk menyambut Hari Raya Haji pada 7 November 2011, sebaik saja temujanji mak dengan pakar jantung di HBPP pada 3 November 2011 selesai. Biasanya mereka berdua menyambut hari raya di rumah sendiri dan kami adik beradik datang mengunjung, tapi raya kali ini mereka di rumah adik kerana kedua-dua sudah terlalu uzur untuk dibiarkan bersendirian.
Temujanji mak untuk rawatan seterusnya adalah pada 22 Disember 2011, tapi kami biarkan mereka menetap di rumah adik sehingga ke tarikh tersebut memandangkan perjalanan jauh dari Ipoh ke Penang terlalu memenatkan jika terlalu kerap bagi dua warga emas berusia melebihi 70. Kami menziarah mereka tiap kali ada peluang.
Apa yang aku perhatikan ialah mak dan abah bertambah uzur di dalam penjagaan adik. Waktu itu masih belum tahu sebabnya. Maka aku menyimpan hasrat untuk mengambil mereka tinggal dengan kami sebaik saja kami pulang dari Medan, sekiranya mereka sudi.
2 Januari 2012, terkejut beruk kami melihat keadaan mereka. Mak semakin susut tubuhnya, tidak boleh berjalan dan pertuturan sangat terjejas. Abah, yang asalnya sihat segar bugar tiada banyak masalah kesihatan, cuma perlu bertongkat sekali sekala apabila berjalan, juga amat susut tubuhnya. Sebaik saja melihat aku, mak terus menangis dan menggapai-gapaikan tangan padaku sambil berkata, "Bawalah mak balik ke Penang..". Jutaan syukur pada Allah SWT, kerana memang itulah kemahuanku, cuma aku tidak mahu memaksa mereka ke sana, kerana aku mahu mereka berada di tempat yang mereka pilih, tempat yang mereka rasa lebih bahagia. Pilihan mak telah begitu jelas, namun abah memohon diberikan tempoh untuk berfikir. Akhirnya abah membuat keputusan untuk tidak pergi. Walaupun tidak menyatakan kenapa, kami tahu beliau tidak mahu menambahkan beban kami memelihara dua orang tua yang uzur. Maka dengan berat hati terpaksa berpisah dengan mak buat sementara waktu. Mak tinggal dengan kami, abah tinggal dengan adik. Siapa pun tidak menyangka itulah minggu-minggu terakhir mak di dunia ini rupa-rupana. Dan aku amat berbesar hati dan bersyukur kerana mak memilih untuk bersama aku, 'Adik', di penghujung usianya.
Category: Stories | Added by: You (27/01/2012)
Views: 1097 | Tags: Ibu, sakit, abah, adik, ipoh, jantung, mak, penang, jaga | Rating: 5.0/1
Total comments: 0
Only registered users can add comments.
[ Registration | Login ]